History - Log

Grand Mosque Seizure

Kejadian luar duga yang mengemparkan seantero umat islam ini berlaku pada 20 November 1979. Peristiwa tersebut merupakan tragedi berdarah pertama yang berlaku dalam sejarah moden Kota Mekah. 

Tragedi berdarah ini berlaku apabila Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani yang dibantu oleh adik iparnya, Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al-Utaibi dan disertai 500 orang penyokong kuatnya telah menyerang Masjidil Haram dan menawan ribuan jemaah haji sebagai tebusan. 

Ketika itu musim haji baru saja berakhir, namun masih ramai yang mengerjakan umrah di Tanah Suci tersebut. Ada yang bersolat, tawaf, sai, mengaji Al-Quran dan sebagainya. Sementara itu, Imam Masjidil Haram ketika itu, Syeikh Mohammed al- Subayil sedang bersiap sedia untuk memimpin para jemaah untuk menunaikan solat subuh. 

 Juhaiman dan orang-orangnya berjaya mengunci kesemua pintu keluar masuk masjid, membunuh dua anggota polis yang hanya bersenjatakan cota dan menahan ribuan jemaah yang terperangkap sebagai tebusan. Juhaiman kemudiannya mengambil alih sistem pembesar suara masjid dan mengumumkan Imam Mahdi akhirnya telah muncul di Kota Mekah. Selain daripada itu beliau mahukan ekspot minyak Arab Saudi ke Amerika Syarikat dan negara-negara lain dihentikan serta merta dan meminta pengusiran kesemua penasihat ketenteraan bukan Islam dari tanah Arab Saudi.

Sebagai tindak balas dari serangan tersebut Tentera Pengawal Kebangsaan dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk perkarangan Masjidil Haram menggunakan kereta kebal menerusi pintu masuk utama tetapi gagal kerana kekukuhan pintu tersebut. Tentera dibawah arahan Juhaiman juga diletakkan di atas menara masjid lengkap dengan sniper (penembak curi). Akibat dari tentangan kuat dari pihak Juhaiman dan korbanyang tinggi dari pihak tentera Arab Saudi, serangan balas itu dihentikan.

Rata-rata umat Islam seluruh dunia marah dengan keengganan kerajaan Arab Saudi untuk memenuhi permintaan dan tuntutan Juhaiman dan seterusnya menghalalkan pembunuhan serta penggunaan senjata di perkarangan masjid. Ramai yang berpendapat bahawa keputusan itu banyak menyebelahi Amerika Syarikat dan akibatnya beberapa kedutaan Amerika Syarikat seperti di Pakistan dan Libya telah dibakar oleh para perusuh dalam tunjuk perasaan. Demonstrasi dan protes juga diadakan di Filipina, Turki, UAE , Bangladesh dan India bagi membantah tindakan dan keputusan yang telah dibuat oleh Raja Faisal. Bagi kebanyakan orang Islam tindakan keluarga As-Saud itu membuktikan kebenaran yang mereka itu hanyalah boneka Amerika Syarikat.

Ketika peristiwa itu berlaku, Masjidil Haram sedang dalam proses pengubahsuaian dan pembesaran masjid. Kerja-kerja pengubahsuaian ini dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi iaitu  Syarikat Pembinaan Ben Laden. Ianya adalah syarikat milik kepada bapa Osama Bin Laden. Insiden ini juga telah membakar semangat Osama dan beberapa tahun kemudian beliau telah diusir keluar dari Arab Saudi kerana kelantangannya mengkritik keluarga As-Saud. Selebihnya kita telah tahu dengan apa yang telah tercatat di dalam lipatan sejarah.

Comments